Sunday, October 16, 2011

Muhammad Alif

Jam berdetik menunjukkan pukul 1 pagi. Mataku masih berkelip kelip di dalam kegelapan yang diterangi sedikit cahaya dari lampu rumah jiran. Anakku Alif sudah lama dibuai mimpi sejak jam 10.30 tadi lagi. Bunyi dengkuran sahabatku yang tumpang bermalam di rumah agak mengganggu 'mood' tidurku. Lantas fikiranku teringat akan blog 'Catatan Liku Liku Hidup' yang sudah lama aku tak 'update'. Lantas ku capai beg laptopku dan ku hidupkannya.

Aku teringat peristiwa petang tadi. Sekitar jam 6.00 ptg anakku alif datang kepadaku dari rumah jiran bermain dengan kawan kawannya. Matanya sedikit berair lalu berkata "Ayah... Alif nak layang-layang". Aku agak terkejut dengan kata-katanya yang sedikit pelat lalu betanya, "Sape main layang-layang?". Dengan pelat dan tergagap Alif menjawab "Abang boboy kat rumah abang (rumah abg napi) main. Alif mintak abang x bagi". Sebak hati aku mendengarnya. Lantas aku mengumpulkan semua bahan dan alat untuk menghasilkan sebuah layang-layang walaupun aku tau semua bahan itu tidak wujud di rumahku. Suratkhabar lama ade beberapa naskah sahaja, gunting memang banyak di rumah ku, salotape memang tiada tapi ade black tape yang biasa orang gunakan untuk membalut wayar elektrik, lidi aku 'kidnape' dart penyapu lidi jiranku..... Alif mengekori aku sewaktu aku mencari bahan bahan berkenaan.

Beberapa orang sahabatku yang datang bertandang mentertawakan telatahku melayan anak.... Ku abaikan sahaja ejekan itu.. yang penting kehendak anakku mesti ku siapkan. Perlahan lahan aku menyiapkan layang layang walaupun sudah lama aku tidak berbuat demikian. Rasanya kali terakhir aku menghhasilkan layang layang sewaktu aku di bangku sekolah rendah..... akhirnya layang layang berjaya aku hasilkan dalam tempoh 20 minit... Gembira bukan kepalang anakku melihat layang layang telah berada di depan mata... Dia memang tidak mempunyai pengalaman langsung tentang cara bermain layang layang. Ku tunjukkan cara bermain layang. Aku berlari seperti budak kecil membuat demo untuk anakku..... selepas itu dia mengikut caraku berlari menaikkan layang layang berkenaan. Hatiku puas melihat dia ketawa dan berbangga dengan layang layang yang ayahnya buat..... walaupun hanya 15 minit dia berpeluang bermain dan layang layang itu telah patah, namun dia tetap puas sehinggakan bercerita kepada ibunya pada malam......

Begitulah sekelumit cerita yang mewarnai kisah hidupku bersama anakku. Kini alif sudah mencecah umur 3 tahun 4 bulan. Fikiranku melayang sewaktu anakku mula-mula lahir ke dunia ini. Pada 16 Jun 2008 sekitar jam 6 setengah aku terima panggilan dari isteri yang mengatakan bahawa dia akan di bawa ke bilik bersalin Hospital Temerloh. Setelah solat Subuh aku membaca Surah Maryam dan berdoa agak isteri mudah melahirkan anak sulung kami yang tidak tahu lelaki atau perempuan. 3 jam berada di bilik bersalin bagaikan begitu lama. Sambil menemani isteri yang sakit hendak bersalin terdengar jeritan ibu ibu yang hendak bersalin dari bilik bilik lain. Aku berpesan kepada isteri agar bersabar dan tidak menjerit walaupun aku tau ianya sangat sakit. Pada jam 9.59 pagi anakku berjaya 'dikeluarkan'. Apabila nurse yang bertugas menyatakan bahawa kami dikurniakan anak lelaki aku terus memanggil anak itu dengan panggilan Alif dan terus memberi kucupan kepada isteriku. Setelah itu aku diarahkan agar menunggu di luar sementara mereka menguruskan isteri.


 Belum pun sempat aku tiba di pintu bilik bersalin, secara tiba-tiba aku tidak dapat melawan rasa sebak. Lantas aku menangis teresak esak. Nurse yang berada di situ terkejut dan menenangkan aku. Aku sangat terkejut dan berasa sangat insaf tentang pengorbanan seorang wanita untuk melahirkan seorang khalifah Allah. Alangkah sucinya pengorbanan itu. Bertarung nyawa bagi melahirkan umat Nabi Muhammad. Aku juga terkejut dengan kejadian Allah SWT. Anak yang keluar tiada sebarang kesan darah walaupun setitik. Sungguh suci dan bersih..... Subhanallah.... Kepada semua kaum Adam... hargailah pengorbanan isteri. Sungguh berharga pengalaman melihat isteri bertarung nyawa bagi melahirkan zuriat kita.



Sekitar 2 jam berada di bilik bersalin, anakku dikeluarkan bagi membolehkan aku mengazankan dan mengiqamahkan ke kedua-dua belah telinganya. Dalam sebak aku melaungkan azan dan iqamah ditemani ayah dan ibuku. Tidak tergambar dengan kata-kata tentang perasaan aku ketika itu. Perasaan menjadi seorang ayah yang tidak pernah aku bayangkan sebelum ini.

Muhammad Alif tidak seperti kanak-kanak lain. Hanya 2 bulan dapat merasa susu dari ibunya, dia ditinggalkan akibat tuntutan tanggungjawab. Aku telah menjaganya setelah dari dia selembik selembik manusia sehingga sekarang mampu berlari membawa layang layang. Walaupun ketika itu aku tinggal di rumah bujang dan aku tiada langsung pengalaman menjaga bayi namun disebabkan tanggungjawab yang telah diamanahkan Ilahi aku gagahi juga. Alhamdulillah kedua-dua orang tuaku dan mertuaku tidak menentang niatku itu dan aku rasa disebabkan restu dan doa mereka aku mampu melakukannya seorang diri. Memang berat tugas menjaga seorang bayi yang baru lahir. Hanya yang mengalaminya yang mampun merasakannya. Ia memerlukan sikap tanggungjawab dan sikap sabar yang sangat tinggi. Tidak dapat aku nafikan kadang-kadang karenahnya membuatkan aku hilang sabar namun setakat ini tiada lagi tindakkanku keterlaluan. Bukan sahaja menjaga malah mendidiknya merupakan satu lagi tanggungjawab. Betullah kata orang tua "syurga di bawah telapak kaki ibu" kerana semua tugas itu sangat mencabar. Walaupun aku telah menjaganya sehingga hampir 4 tahun namun aku akui yang aku masih gagal menyaingi kaum wanita menjaga anak.

Sesekali aku mempersoalkan takdir Ilahi yang tertulis ke atas anakku tatkala melihat kanak kanak lain membesar dengan kasih sayang ibu dan ayah. Tapi kenapa takdir anakku tertulis begini. Namun siapalah aku insan yang lemah dan berdosa ini mempersoalkannya. Maha Suci Allah mengetahui segala galanya. Teringat kata kata bekas PK HEM sekolahku sewaktu jamuan perpisahan baru baru ni. Sesungguhnya Allah adalah sebaik baik perancang. Mungkin Allah telah merancang sesuatu dalam hidupku yang menjanjikan hikmah di sebalik ujian dan cabaran ini. Disetiap doa, aku sentiasa mendoakan agar anakku berjaya walaupun membesar dalam keadaan begini. Tanpa kasih sayang yang sempurna. Dan aku sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk meneruskan tanggungjawab yang telah diamanahkan ini sebaik dan semampu mungkin. Selebihnya aku hanya mampu berserah kepadaNya kerana Dia yang menentukan segala-galayanya.

"Ya Allah Ya Tuhanku. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui segala segalanya. Jika ini yang terbaik untuk anakku, aku memohon kepadaMu agar kurniakanlah kekuatan dan ketabahan pada hatiku untuk menjalankan setiap tanggungjawab yang telah Engkau amanahkan. Jadikanlah anakku insan yang sentiasa bertaqwa kepadaMu, patuh kepada ibunya serta menghormati orang yang lebih tua. Jadikanlah dia insan yang soleh, amanah, jujur dan berhati mulia. Jadikan dia insan yang berjaya di dunia dan akhirat " 
Amin Ya Rabbal Alamin

0 comments:

Post a Comment